Touchpoint Baharu MRT Jadi Hab Kongsi Maklumat Mengenai Laluan SSP

Touchpoint Baharu MRT Jadi Hab Kongsi Maklumat Mengenai Laluan SSP

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama)– Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini melancarkan touchpoint baharunya di Seri Kembangan sebagai hab untuk berkongsi maklumat dengan orang ramai mengenai projek MRT Lembah Klanag.

Touchpoint tersebut terdiri daripada dua Pusat Informasi MRT (MIC), sebuah Kiosk Informasi MRT (MIK) dan Trak Informasi MRT (MIT).

Pengarah Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) Datuk Amiruddin Ma’aris berkata touchpoint itu ditubuhkan untuk membolehkan MRT Corp melibatkan dan memberi maklumat kepada orang ramai mengenai Projek MRT Lembah Klang terutama Laluan SSP.

“Tiga jenis touchpoint ini ditubuhkan dengan satu tujuan iaitu sebagai saluran untuk orang ramai mendapat maklumat mengenai projek MRT,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Touchpoint MRT di Pusat Informasi MRT: The Atmosphere di sini, hari ini.

Ketiga-tiga touchpoint akan mempunyai papan kenyataan dengan butiran mengenai projek seperti penjajaran, lokasi stesen, faedah MRT dan aplikasi interaktif “Hawkeye” yang memaparkan pandangan udara 360 darjah mengenai keseluruhan jajaran.

Beliau juga berkata sebelum ini, touchpoint yang berpusat di Damansara Utama turut digunakan sebagai saluran untuk orang ramai mendapat maklumat mengenai laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan justeru, MRT memperkenalkan semula Laluan SSP sebagai fokus utama.

Fasa pertama SBK dari Sungai Buloh ke Semantan akan beroperasi menjelang Disember tahun ini manakala fasa kedua dari Semantan ke Kajang akan beroperasi menjelang Julai 2017.

Fasa satu SPP dari stesen Sungai Buloh ke stesen Kampung Batu akan beroperasi menjelang Julai 2021 dan keseluruhan laluan akan beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua 2022.

Jumlah kos operasi bagi projek MRT ialah RM53 bilion dan projek ini merupakan projek permulaan bagi Program Transformasi Ekonomi (ETP) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.