Kem Pintar TP1B/PAUiTM: 47 pelajar buat persediaan hadapi SPM 

Kem Pintar TP1B/PAUiTM: 47 pelajar buat persediaan hadapi SPM 

 

Oleh Norila Daud

 

BAGI mengetahui potensi diri dan seterusnya membuat persiapan untuk mencapai cita-cita yang diidamkan, sejumlah 47 pelajar dari seluruh negara berhimpun di Kolej Angsana, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, Selangor,  sejak 29 Mei hingga 1 Jun untuk mengikuti Kem Pintar Tabung Pendidikan 1Bilion (TP1B Smart Camp).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datin Sri Azlina Ahmad berkata, bagi tujuan melengkapkan para pelajar dengan ilmu dan pendedahan ke arah mencapai cita-cita mereka,  Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) menyediakan pakej pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan pelajar  sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2017.

IMG_6106

Datin Seri Azlina Ahmad

“Kebanyakan daripada pelajar yang terpilih mengikuti kem ini memperoleh sekurang-kurangnya 6A dalam Pentaksiran Tingatan 3 (PT3) tahun 2015 dan berpotensi untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

“Mereka yang terpilih menyertai Kem Pintar TP1B ini adalah pelajar-pelajar dari Sekolah Bestari di seluruh negara dan daripada keluarga yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan,” katanya yang ditemui di UiTM, Puncak Alam semalam.

Menurut beliau, pihaknya memberi penekanan kepada fiziks, kimia, matematik tambahan dan bahasa Inggeris pada kem kali ini berikutan beberapa kajian yang dilakukan ke atas kumpulan pelajar-pelajar SPM mendapati mereka lemah dalam subjek-subjek tersebut.

Berikutan kelemahan itu, kem pintar TP1B antara lain menyediakan pembelajaran “Oh My English”yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan, UiTM, Dr. Leele Susana Jamian;  “Numbers Anyone? kendalian Pensyarah, Fakulti Komputer dan Sains Matematik, UiTM, Prof. Madya Dr. Mohd. Nasir Khalid dan Penganalisis Sistem, Roslan Ahmad menyempurnakan sessi  “I am Einstein”; manakala “Revolution of the Mind” disampaikan oleh alumni UiTM (undang-undang), Syamsul Amri Ismail,  sementara Pengerusi Suruhanjaya Atlit Olimpik, Noraseela Mohd. Khalid mengulas tentang “Olympism”.  Pensyarah dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Zaifilla Farrina Zainuddin pula mengendalikan sessi “Neuro Linguistic Programming” yang menumpukan kepada perkembangan peribadi seseorang pelajar.

Menyentuh kedatangan peserta ke UiTM Puncak Alam, Azlina berkata, sebanyak 20 pelajar termasuk dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menaiki kereta api manakala peserta dari Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak menaiki pesawat tajaan AirAsia sementara peserta  dari Selangor dan Kuala Lumpur dihantar oleh ibu bapa masing-masing.

Dalam pada itu, Azlina berharap pelajar-pelajar dapat memanfaatkan  ilmu dan pendedahan yang diperoleh pada kem pintar selama empat hari itu dan sekali lagi  pada Disember ini bagi memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang bakal mereka duduki tahun hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.