Capai cita-cita dalam tempoh yang ditetapkan  

Capai cita-cita dalam tempoh yang ditetapkan  

 

Oleh Norila Daud

“Kebanyakan daripada para pelajar mempunyai cita-cita tetapi tidak tahu hala tuju dan cara-cara untuk mencapainya.  Lebih menyedihkan terdapat dalam kalangan pelajar miskin yang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi terhambat kerana merasakan perbuatan itu akan membebankan keluarga mereka,” kata Zaifilla Farrina Zainuddin.

Pensyarah dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkata,  para pelajar perlu diberi nasihat dan tunjuk ajar supaya dapat mengenal pasti potensi yang terdapat pada diri mereka.

Menurut Zaifilla, perjalanan hidup seseorang pelajar perlu dirancang daripada usia awal untuk tempoh 10 tahun mendatang supaya cita-cita mereka boleh dicapai.

IMG_6102

Zaifilla: Perjalanan hidup pelajar perlu dirancang daripada usia awal untuk 10 tahun mendatang.

“Seorang pelajar lelaki dari Pulau Ketam, Perlis bercita-cita menjadi jurutera automotif selain mencipta kenderaan yang boleh menjimatkan tenaga.

“Anak kepada seorang nelayan yang mempunyai rakan-rakan dalam kalangan “Mat Rempit”, dia (pelajar)  bercadang untuk membina sebuah litar lumba motosikal di kampungnya ketika berusia 26 tahun,” ujarnya yang ditemui di UiTM Puncak Alam baru-baru ini.

Pengamal “Neuro Linguistic Programming” yang bertauliah, Zaifilla memberitahu, bidang ini mengajar  pelajar cara-cara mencungkil bakat serta kehendak mereka dan seterusnya mencapai kejayaan dalam tempoh 10 tahun.

Kaedah ini katanya, dicipta oleh Richard Bandler dan John Grinder dari California, Amerika Syarikat yang mengaitkan komunikasi, perkembangan diri dan psikoterapi untuk seseorang mencapai kecemerlangan.

Di Amerika Syarikat,ujar Zaifilla, kaedah ini digunakan sejak tahun 1970 dan kerana itu generasi muda di negara itu mampu mencapai cita-cita mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

Sebagai Ketua Penyelaras Kem Pintar TP1B/PAUiTM 2016, Zaifilla memberitahu, sejumlah 47 pelajar yang mengikuti kem pintar itu akan diajar bagaimana untuk keluar daripada ketakutan dan kekhuatiran berikutan berasal daripada keluarga miskin.

‘Untuk mencapai cita-cita, seseorang pelajar perlu mencari peluang dengan kelebihan yang ada pada diri mereka,”ujarnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.