Kem Pintar TP1B/PAUiTM:  Calon SPM yakin dapat 9A

Kem Pintar TP1B/PAUiTM:  Calon SPM yakin dapat 9A

 

Oleh Norila Daud 

KUALA LUMPUR, 1 Jun (PAUITM) — Tempoh empat hari yang diisi dengan program pembelajaran dan motivasi pimpinan beberapa tenaga pengajar untuk membantu calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mencapai keputusan cemerlang ternyata memberi impak positif kepada  47 peserta Kem Pintar TP1B/PAUiTM 2016 yang berakhir hari ini.

Kem Pintar yang bermula pada 29 Mei di Kolej Angsana, UiTM di Puncak Alam, Selangor dan berakhir hari ini (1 Jun) dengan lawatan ke Petrosains, KLCC bukan sekadar menambah ilmu pelajar dalam subjek-subjek penting untuk menghadapi SPM, malahan mereka turut memohon sesi itu dipanjangkan berikutan pendekatannya yang unik dan menarik.

SHARMIZI

Mohd. Sharmizi Shaferi

NURUL ATIQAH

Nurul Atiqah Zailan

Dengan lain perkataan, pengisian program kem pintar anjuran Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) dan Persatuan Alumni Univeristi Teknologi MARA (PAUiTM) itu adalah berkesan untuk perkembangan pembelajaran  kumpulan pelajar tersebut.

Sehubungan itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers, Mukah, Sarawak , Mohd. Sharmizi Shaferi, 16, mahu kem pintar itu dipanjangkan sehingga dua minggu kerana teruja dengan guru-guru yang mengajar cara mudah untuk menjawab soalan peperiksaan.

“Kini  saya tidak perlu menghafal “formula” untuk menjawab soalan-soalan fizik dan matematik.  Bagi matematik tambahan,  yang diperlukan hanya  memahami proses-proses terlibat untuk menyelesaikan sesuatu masalah,” katanya yang memperoleh 8A pada Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun 2015.

“Saya memang lemah dalam matematik tambahan tetapi setelah diajar cara-cara menjawab soalan dengan

mudah, kini saya lebih yakin dan menyukainya. Tahap pemahaman saya dalam bahasa Inggeris juga meningkat,” kata Nurul Atiqah Zailan.

Pelajar  SMK, Dato’ Sedia Raja, Rembau, Negeri Sembilan ini juga berpendapat, sessi motivasi  turut meningkatkan semangatnya untuk belajar dengan lebih tekun bagi memperoleh 9A dalam SPM.

HUSNI (kanan)

Muhammad Husni Anuar (kanan) bersama-sama Mohamad Syahmi di Petrosains, KLCC

Mohamad Syahmi Othman dari SMK Sungai Besar, Selangor berkata, dia tidak lagi merasa tertekan untuk menjawab soalan fizik dan matematik tambahan kerana guru-guru mengajar dengan cara menarik dan mudah untuk difahami.

DAYANG AYU

Dayang Ayu Syamilia Che Roi

“Semangat untuk menumpukan perhatian kepada kedua-dua subjek ini meningkat kepada 80 peratus,” katanya yang bercita-cita menjadi jurutera sivil.

Muhammad Husni Anuar dari SMK Datuk Onn, Butterworth pula lebih yakin bercakap di khalayak ramai berbanding sebelum ini setelah didedahkan dengan sessi mendisplin dan memahami sahsiah diri.

Anak kepada kerani MISC yang bercita-cita menjadi seorang akauntan ini turut merasa bertuah kerana diajar bagaimana mengurus masa untuk menjadi pelajar yang berjaya.

Dayang Ayu Syamilia Che Roi dari SMK, Jitra, Kedah merasa teruja dengan guru yang mengajar menggunakan “website” tertentu untuk menjadikan sesuatu subjek itu lebih menarik dan mudah difahami.

Bercita-cita mendapat 9A dalam peperiksaan SPM, Dayang Ayu juga menyukai sessi “Revolusi Minda” kerana ianya membuat pelajar berfikiran positif.

NURAIN

Nuraian Sanuan

Menurut anak kepada seorang nelayan di Perlis, Muhammad Nor Aiman Ismail, kem pintar itu memberinya peluang mengenali rakan-rakan dari negeri lain di samping belajar untuk bekerjasama dalam satu pasukan sebelum majlis penutup diadakan.

NOR AIMAN

Muhammad Nor Aiman Ismail

“Semangat saya untuk lulus cemerlang dalam matematik tambahan, fizik dan bahasa Inggeris meningkat 100 peratus setelah mendapat tunjuk ajar cara-cara menjawab soalan dengan mudah,” ujarnya yang yakin untuk memperoleh 9A dalam peperiksaan SPM.

Pelajar SMK Simpang Pulai, Perak, Nuraian Sanuan pula merasa bertuah kerana terpilih mengikuti kem pintar seumpama itu untuk menimba ilmu sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM tahun depan.

Anak kepada pesara tentera itu yakin mendapat 9A dalam peperiksaan SPM setelah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada tenaga pengajar di kem pintar itu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.