Shazalli kongsi kejayaannya pada CEO@Faculty Programme di UiTM, Shah Alam

Shazalli kongsi kejayaannya pada CEO@Faculty Programme di UiTM, Shah Alam

 

SHAH ALAM 30 JULAI – Rahsia kejayaan Dato’ Seri Shazalli Ramli selaku Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad dalam membina sesebuah syarikat yang diterajuinya ialah dengan berpegang kepada falsafah “tidak melakukan perkara-perkara yang salah bagi mendapatkan yang betul (hasil) dalam sesuatu yang diusahakan.

Shazalli berkata, sesuatu kejayaan yang sejati itu hanya boleh dicapai menerusi keikhlasan, kejujuran dan melakukan segala tugas dan tanggungjawab dengan berintegriti di samping sentiasa berdoa agar segala yang diusahakan direstui Allah.

Menurut Shazalli, untuk berjaya dalam apa jua yang dilakukan, seseorang itu perlu mempunyai ikon atau beberapa mentor/idola yang dikenali untuk dicontohi.

IMG_6877

Shazalli Ramli menerima watikah pelantikan CEO@Faculty Programme dari Hassan Said sambil diperhatikan Idris Jusoh dan Ahmad Zaidee Laidin.

 

“Mempunyai mentor-mentor yang dikenali adalah lebih mudah untuk membuat rujukan termasuk mempelajari kemampuan mereka sehingga berjaya membina syarikat ke peringkat antarabangsa.

“Saya juga menggunakan khidmat artis terkenal dengan mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai lirik positif bagi menarik pelanggan supaya menyukai dan membeli barangan dengan menggunakan perkhidmatan syarikat kami (Celcom),” kata beliau ketika memberi ceramah pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan CEO@Faculty Programme dan “Soaring Upwards with Shazalli” di Dewan Agung, Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam pagi semalam.

Program yang dihadiri lebih kurang 1,500 orang termasuk pelajar UiTM, pensyarah dan alumni itu adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memperhebatkan penyertaan sektor industri dalam sistem pendidikan tinggi negara melalui perkongsiaan pengalaman dan kepakaran tokoh-tokoh industri.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dr. Ahmad Zaidee Laidin, Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said dan Ahli Lembaga Pengarah UiTM merangkap Presiden Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan.

Berhubung kejayaan Shazalli, Celcom yang diterajuinya dari tahun 2005 mencatat prestasi kewangan yang kukuh dan melepasi semua sasaran yang diperlukan. Hasil pendapatan syarikat meningkat sehingga 63 peratus, EBITDA sebanyak 47 peratus dan PAT sehingga 140 peratus.

Di bawah kepemimpinan Shazalli, beliau turut berjaya meningkatkan prestasi dan kedudukan Celcom, mengatasi syarikat pesaing dengan mempunyai pelanggan terbanyak pada tahun 2014 dan meneruskan kecemerlangan sehingga hari ini.

Memiliki kepakaran dalam bidang penjenamaan dan pemasaran, beliau juga diberi kepercayaan oleh pihak kerajaan bagi membantu menangani isu-isu terutama melibatkan transformasi GLC. Kini menjadi anggota Lembaga Pengarah PRIMA dan MAS, anggota Pasukan Khas, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) untuk mengawal selia pelan transformasi PROTON.

Sebagai mengiktiraf kepemimpinan beliau, baru-baru ini Shazalli dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Serantau-Asia Tenggara. Dalam pada itu, apa yang paling membanggakan, ialah Shazalli adalah seorang alumni UiTM yang menempa kejayaan dalam kerjayanya ke peringkat tertinggi.

Sementara itu, Shazalli turut memberitahu tentang peruntukan Celcom sebanyak RM30 juta untuk membaik pulih sistem akses komunikasi (signal) untuk UiTM termasuk di cawangan-cawangannya seluruh negara.

 

Lagi foto dalam Image Gallery.

Leave a Reply

Your email address will not be published.