Dua Pelajar Miskin Gembira Ditaja TP1B Ke Sekolah Elit, Mahu Berbakti Kepada Negara

Dua Pelajar Miskin Gembira Ditaja TP1B Ke Sekolah Elit, Mahu Berbakti Kepada Negara

 

Oleh Siti Aisyah Harun

SHAH ALAM, 11 Sept — Gemuruh bercampur gembira. Itu perasaan pertama dua pelajar miskin dari Baling, Kedah apabila dimaklumkan mereka terpilih melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah antarabangsa cawangan United Kingdom (UK) di negara ini.

Muhammad Afiq Amir Muhammad Fauzi, 13, dan Nur Thayiebah Hamdan, 13, tidak pernah menyangka dalam hidup mereka untuk berpeluang mencorak masa depan bersama-sama 370 lagi pelajar pelbagai bangsa yang datang dari seluruh pelusuk dunia di EPSOM College in Malaysia.

Menurut kedua-dua bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling, Kedah, kemasukan ke sekolah baharu yang terletak di Bandar Enstek, Negeri Sembilan dilihat peluang paling keemasan untuk mengubah nasib keluarga yang selama ini bergantung rezeki kepada hasil torehan getah bapa mereka.

epsoommm-transformed

Walaupun sedikit malu dan kurang yakin tatkala menjejakkan kaki kali pertama di sekolah itu, Muhammad Afiq Amir dan Nur Thayiebah tetap menyematkan segunung harapan untuk mencapai cita-cita mereka dalam bidang perubatan.

Mendapat tajaan persekolahan sepenuhnya daripada Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B), sebuah tabung anjuran Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), kedua-dua pelajar itu berjanji untuk menjadi anak luar bandar pertama berjaya dalam kalangan lebih 19 bangsa seluruh dunia di sekolah tersebut.

Memulakan sesi pembelajaran penggal pertama pada 1 Sept lepas, Muhammad Afiq Amir dan Nur Thayiebah, kedua-duanya pelajar Gred 8, dilihat begitu teruja untuk terus menerokai peluang itu walaupun masih cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran dan komuniti yang serba baharu.

“Pada mulanya saya agak takut, saya dari kampung dan penguasaan bahasa Inggeris saya masih tidak ‘strong’… bila orang tanya tak yakin nak jawab, tapi mereka (pelajar dan guru) di sini sangat membantu.

“Walaupun terdiri dari pelbagai negara, mereka banyak bantu saya menguasai bahasa Inggeris dan saya akan terus belajar sehingga benar-benar fasih berkomunikasi… saya mahu jadi lebih baik dan menyumbang kepada negara,” kata Nur Thayiebah ketika ditemui Bernama.

Bercita-cita menjadi doktor kanak-kanak, anak ketiga dari lima beradik itu tidak menganggap latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan sebagai kekurangan malah ia dijadikan satu semangat kepadanya untuk membuktikan anak luar bandar boleh bersaing dan berjaya.

Bagi Muhammad Afiq Amir pula, walaupun kaedah dan sesi pembelajaran di sekolah berkenaan berbeza dengan sekolah harian kerajaan, namun tekad untuk menjadi ahli farmasi dijadikan sandaran dalam menyesuaikan diri di situ.

“Mula-mula memang sedikit gugup nak bercampur gaul dengan pelajar di sini, tapi saya cuba sebab saya nak berjaya, mak dan ayah selalu doa… ini peluang saya dan saya tak mahu hampakan harapan mereka, saya nak bantu masyarakat juga,” katanya.

Kedua-dua pelajar itu amat berterima kasih kepada TP1B dan PAUiTM atas peluang yang diberikan malah menganggap ia sebagai mimpi yang tidak pernah disangka boleh menjadi kenyataan.

EPSOM College in Malaysia, sebuah sekolah berasrama penuh dan harian itu merupakan cawangan EPSOM College UK yang berteraskan sukatan kurikulum pembelajaran British, International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) dan A Levels.

Menurut guru besar sekolah itu, Martin George, kedua-dua pelajar berkenaan akan dididik dengan sangat baik supaya dapat menyumbang kembali kepada keluarga, negara dan masyarakat secara keseluruhan.

Beliau berkata penekanan kepada disiplin, ketepatan masa, sikap saling menghormati antara kaum dan konsep ketahanan diri merupakan antara nilai yang diterapkan kepada seluruh pelajar di sekolah terbabit.

“Bukan sahaja pelajaran, mereka akan turut diajar membina kemahiran terutama dalam komunikasi bahasa Inggeris, malah mereka akan mendapat peluang untuk mencuba perkara baharu dan mata pelajaran baharu di sini. Kami mahu mereka gembira,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat TP1B, Afiza Abdul Aziz berkata penajaan kedua-dua pelajar itu adalah daripada 15 calon lain yang dipilih berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan beberapa ujian lain termasuk ujian kemasukan ke EPSOM College in Malaysia itu sendiri.

Katanya, penajaan kali pertama itu dibuat dengan menyasarkan pelajar miskin berpotensi tinggi untuk diberi peluang melanjutkan pelajaran di sekolah berkenaan dan sebagai inspirasi kepada lebih ramai anak-anak miskin luar bandar untuk berjaya.

Beliau berkata sehingga kini, TP1B yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April tahun lepas telah memberi manfaat kepada 49 pelajar termasuk pemberian dermasiswa.

TP1B diilhamkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh pada 2014, bagi mengutip RM1 bilion daripada para alumni UiTM bertujuan antaranya memberi biasiswa, bantuan kebajikan, penambahbaikan fakulti, menaja penyelidikan dan pembangunan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.