Dari Meja Presiden

Dari Meja Presiden

dato-zainiUiTM atau Universiti Teknologi Mara ialah sebuah universiti yang cukup berjaya dalam menghasilkan siswazah yang berke­terampilan, versatil dan hands-on.

Rata-rata para siswazahnya boleh membuat kerja pada hari pertama mereka mendaftar sebagai pekerja.

Ini bukan omongan, tapi realiti. Ada jugalah yang gagal. Tetapi 70 peratus daripada para siswazahnya berjaya mendapat kerja sebaik sahaja habis belajar. Kadar kebolehpekerjaan (employability) siswazah UiTM cukup tinggi jika diambil kira dengan nisbah populasi yang dihasilkan setiap tahun. Setiap tahun ia menghasilkan kira-kira 30,000 lulusan dalam pelbagai bidang.

Setakat ini terdapat lebih 530,000 siswazahnya melata di dalam dan luar negara. Dalam jumlah itu ada yang dihasilkan oleh Pusat Latihan RIDA semasa penubuhannya dari 1956-1965, Kolej Mara (1965-1967) dan ITM (1967-1999) sebelum dinaik taraf sebagai universiti dan UiTM sendiri.

Angka 500,000 itu dikenali sebagai alumni atau bekas pelajar di alma mater itu.

Jumlah itu cukup besar. Ia cukup kuat sebagai sebuah badan alumni. Jika ditukar menjadi badan siasah, ia adalah kuasa ke­dua terbesar selepas UMNO.

Walaupun selepas menerima diploma dan masing-masing ada yang melanjutkan pelajar ke peringkat ijazah di institusi dalam dan luar negara, semangat RIDA/ITM/UiTM mereka cukup teguh di sanubari masing-masing.

Semangat lagu Warisan Anak Kecil Main Api yang dinyanyikan semasa minggu orien­tasi melekat utuh di jiwa mereka sampai bila-bila.

Gelaran budak Engine, budak Law, budak Masscomm, budak Hotcat, budak A.D, budak Business dan lain-lain terlekat di dahi mereka, walaupun masing-masing kini sudah bercucu-cicit!

Itulah jiwa UiTM. ‘UiTM Tetap di Hatiku’, cogankata Naib Canselornya sekarang, Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, yang juga budak Engine (Kejuruteraan).

Baru-baru ini Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) mengadakan program kebajikan membantu mangsa banjir di Kuantan yang turut disertai oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Dalam ucapannya, Idris dengan bangga berkata, “Saya juga alumni UiTM. Walaupun saya belajar sekerat jalan semasa mengikuti kursus Eksekutif MBA program Ohio di ITM pada 1984 dulu, tapi semangat saya untuk menjadi alumninya cukup kuat.”

Beliau berjaya menyuntik semangat baru di sanubari kami semua. Gerakkan sema­ngat wakaf di kalangan alumni. Gerakkan semangat ‘memberi balik’ (spirit of gi­ving back) di jiwa mereka.

“Kita kutip RM1 bilion daripada para alumni,” cabarnya.

“RM1 bilion?” saya selaku Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia tercengang. Saya tanya lagi “Seribu juta ringgit?”

“Ya RM1 bilion. Apa susah sangat,” katanya.

Ilmu Hisab mudah beliau begini: Alumni UiTM ada 500,000. Setiap se­­orang menginfak, menderma, bersedekah, berwa­kaf sebanyak­ RM2,000. Dalam setahun alumni boleh mengumpul dana endowmen atau dana wakaf berjumlah satu ribu juta ringgit. Atau 500,000 alumni x RM2,000 = RM1 bilion.

“Sebagai permulaan saya sen­diri akan me­ngumpulkan da­ri­pada adik-ber­adik saya alumni UiTM. Setiap seorang akan menginfak RM2,000.

“Saya sendiri akan memberi RM10,000. Susah­kah itu?” tanya Idris.

Saya kata ti­dak. “Kita akan gerakkan.”

Dalam tempoh beberapa hari ini sahaja, hasil semangat ‘wakafer’ di jiwa Idris beliau telah menggerakkan kempen melalui kumpulan Whatsapp dan SMS. Hasilnya lebih RM50,000 berjaya dikutip dan akujanji akan menderma.

Semangat wakafer Idris bukanlah asing. Sebelum menyertai Kabinet, beliau telah menggerakkan apa yang dikenali sebagai gagasan Wakaf Korporat melalui platform Yayasan Iqra’.

Saya sendiri juga terbabit dalam gerakan itu. Kami menggelar diri kami sebagai wakafer, atau penggerak wakaf.

Dana RM1 bilion ini akan dikenali sebagai Tabung Pendidikan Alumni UiTM.

Di universiti terkemuka Harvard misalnya, dana seperti ini bukan asing lagi. Ia digerakkan oleh para alumninya sehingga berjaya mengumpul dana endowmen berjumlah lebih AS$20 bilion.

Dana wakaf ini digunakan untuk memberi biasiswa, menyalur bantuan kebajikan, penambahbaikan kurikulum fakulti, menaja penyelidikan dan pembangunan (R&D), mendapatkan pakar dalam pembelajaran, membiayai operasi universiti dan sebagainya.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bumiputera terbesar di negara ini, mengapa tidak kita mulakan budaya “memberi balik” ini?

“Jika Harvard berjaya kutip RM100 bilion dana endowmen, kita kutip dahulu RM1 bilion pertama, insya-Allah.

“Adakah kita hanya selama-lamanya akan menjadi bangsa penerima tongkat semata-mata?” kata Idris penuh semangat, semasa berhenti rehat untuk satu lagi program UiTM di Kuantan baru-baru ini.

Setakat ini semua begitu teruja dengan cadangan itu. Persatuan Alumni UiTM Malaysia akan menyelaras penubuhan sebuah panel penasihat yang dianggotai oleh pakar-pakar dan kapten-kapten industri kalangan alumni sendiri untuk mengawal selia dana ini mengikut konsep wakaf, secara telus.

Sebagai wakafer, Idris kelihatan puas. Puas untuk melihat budaya ‘memberi balik’ ini berjaya memartabatkan ummah secara keseluruh­an. Ternyata pandangannya merentas masa.

Beliau banyak belajar daripada budaya masyarakat Turki yang `memberi balik’ kepada ummah melalui wakaf dan infak. Daripada situ mereka membiayai pembinaan sekolah, madrasah, institusi kebajikan ke seluruh dunia sejak zaman Khalifah Uthmaniah lagi.

“Kita mulakan di UiTM dahulu kerana ia adalah institusi yang unik,” katanya.

Benar, ia juga boleh menjadi contoh sejauhmana kita semua sebagai ummah alumni UiTM benar-benar faham mengenai erti ‘memberi balik’ – menginfak, bersedekah, menderma kepada institusi keramat Me­layu/Bumiputera ini.

Siapalah Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman (PNB) tanpa ITM?

Siapalah Datuk Kamaruddin Maranun (AirAsia), siapalah Datuk Seri Shazzalli Ramly (Celcom), siapalah Datuk Aminar Rashid (Perodua), siapalah Tan Sri Mohd. Khamil Jamil (DRB-Hicom), siapalah Datuk Seri Zukri Samat (Bank Islam), siapalah Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin (Boustead Hol­dings)? Siapalah Datuk Seri Panglima Musa Aman (Ketua Menteri Sabah) tanpa ITM?

Siapalah Datuk Richard Malanjum (Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak), siapalah Datuk Zaid Ibrahim (ahli politik/peguam), siapalah Datuk Seri Ir. Zin Mohamed (bekas menteri), Datuk Seri Azalina Othman Abas (bekas menteri) dan banyak lagi.

Tanpa institusi keramat ini, siapalah “budak-budak” itu hari ini?